Info

Pengenalan Petaling Jaya

Petaling Jaya atau PJ, wujud pada tahun 1952 sebagai sebuah bandar satelit bagi bandar raya Kuala Lumpur. Keluasan Petaling Jaya adalah kira-kira 97.2 km2, menjadikannya bandar paling pesat di Selangor. Petaling Jaya terletak di daerah Petaling yang merupakan daerah terbesar dan termaju di negeri Selangor, Malaysia.

Pada 20 Jun 2006 Petaling Jaya dinaikkan taraf menjadi sebuah bandar raya dan tidak lagi sebagai bandar satelit kepada bandar raya Kuala Lumpur. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi pihak berkuasa tempatan yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir Petaling Jaya.

Populasi Petaling Jaya seramai 700,000 orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa yang hidup dengan makmur dan harmoni.

Dua mod pengangkutan menghubungkan Petaling Jaya dengan destinasi lain iaitu pengangkutan udara dan darat.

Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah merupakan lapangan terbang paling hampir. Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang juga boleh menjadi pilihan. Jaringan jalan raya seperti Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Damansara-Puchong dan sebagainya antara pilihan laluan pengangkutan darat untuk ke Petaling Jaya.


PJ International Fair 2014 - Folklore Festival

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama International Council of Organizations of Folklore Festivals and Folk Arts, (CIOFF) akan menganjurkan PJ International Fair 2014 Folklore Festival bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-8 dinaikkan taraf sebagai sebuah bandar raya.

Festival kesenian antarbangsa ini melibatkan penyertaan kumpulan kebudayaan dari dalam dan luar Negara seperti Indonesia, India, Mesir, Sri Lanka, Iran, Senegal, Korea, Thailand, Kenya, Bangladesh, Ghana, Jepun dan Nigeria serta tidak ketinggalan kebudayaan tempatan Malaysia.

PJ International Fair 2014 yang bertemakan Kesenian Rakyat merupakan kesinambungan kepada edisi pertama 2013 yang dikenali sebagai “PJ International Fair yang bertemakan Sustainable Lifestyle Green Living” yang telah berlangsung pada 21 dan 22 Disember 2013.

PJ International Fair 2014 Folklore Festival akan menampilkan acara-acara menarik yang dipersembahkan oleh negara-negara yang mengambil bahagian dengan menampilkan 4 segmen utama iaitu persembahan kebudayaan rakyat, sukan rakyat, demonstrasi masakan tradisional, pameran dan jualan barangan kraftangan.

Festival ini antara lain bertujuan untuk mempromosikan Bandar raya Petaling Jaya khususnya dan Negeri Selangor serta Negara Malaysia amnya sebagai sebuah destinasi antarabangsa yang berdaya huni melalui keharmonian budaya, ciri-ciri persekitaran terbaik dan aktiviti-aktivitinya yang menarik.

Saksikan keunikan kesenian rakyat antarabangsa di Petaling Jaya, Malaysia. Kami mengalu-alukan kehadiran anda.